Akta Perlindungan Pengguna yang dijadualkan untuk pindaan Mac ini, antara lain bagi mewujudkan jawatankuasa pemantauan pengiklanan bagi mengelakkan kebanjiran iklan yang mengelirukan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jawatankuasa itu menjalankan tugasan memantau semua jenis iklan.“Ini bagi mengelakkan orang ramai daripada terpengaruh dengan iklan yang kebanyakannya menipu pengguna.
Draf pindaan itu sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk proses perundangan sebelum dibentangkan di Parlimen, Mac ini. “Pindaan akta ini adalah bagi melindungi hak pengguna di negara ini supaya tidak ditipu sewenang-wenangnya dengan iklan yang ditawarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pertandingan Hari Pengguna Malaysia 2010 di sini, semalam.
Pindaan akta itu adalah satu daripada enam akta berkaitan kepenggunaan yang akan dipinda pada persidangan Parlimen ini, dalam usaha kerajaan menjaga kepentingan pengguna.Lima akta lain ialah Akta Sewa Beli, Akta Kawalan Harga, Akta Jualan Langsung, Akta Hak Cipta dan Akta Maktab Kerjasama Malaysia.
Setiap pengguna di Malaysia harus sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang betul dan bijak. Setiap pengguna hendaklah dilindungi daripada segi dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan penipuan dan penyelewengan.
Yang penting, sentiasalah mendapatkan maklumat yang tepat dan betul daripada persatuan-persatuan pengguna seperti FOMCA atau pihak KPDNKK bagi memastikan anda tidak tertipu dengan dengan kelicikkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab......Perubahan bermula daripada anda.
(sumber dari: Berita Harian)